FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki cedera ditikam menggunakan pisau hanya kerana tindakannya menegur seorang lelaki yang memasang radio dengan kuat.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, mangsa lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pembantu perkapalan cedera di belakang bahu kiri akibat ditikam lelaki berusia 20-an berhampiran Pelabuhan Sepanggar di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dikatakan sedang berehat bersama lima rakannya di kawasan berkenaan.

Katanya, salah seorang rakan mangsa kemudian mempelawa suspek yang ketika itu sedang berada di atas sebuah kapal untuk borak bersama.

"Suspek kemudian datang dengan membawa radio. Mangsa menegur suspek supaya tidak memainkan radio itu berikutan bunyi bising.

"Suspek kemudian naik semula ke atas kapal dan muncul semula tidak lama kemudian. Dia lantas bertindak menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian belakang bahu sebelah kiri," katanya.

Habibi berkata, mangsa yang cedera terus dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah oleh rakannya manakala suspek melarikan diri.

"Mangsa yang cedera pada belakang bahu kiri akibat ditikam menggunakan pisau menerima enam jahitan. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 6:06 PM