Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan negeri sudah mengemukakan cadangan untuk membuka Pusat Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Ipoh dan Perak Selatan, bagi menempatkan pesakit yang tiada gejala demam dan batuk.

Menteri Besar Perak Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dicadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan negeri baru-baru ini.

Katanya, antara lokasi yang dicadangkan adalah di Stadium Indera Mulia di Ipoh dan Langkap, Teluk Intan.

"Pusat risiko rendah ini untuk menempatkan mereka pesakit yang didapati positif Covid-19 tetapi tiada gejala.

"Kerajaan negeri sentiasa akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan beban hospital kita," katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, perkara itu belum mendapat persetujuan MKN, namun pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama dengan KKM untuk memulakan operasi pada bila-bila masa.

AHMAD Faizal. FOTO Sharul Hafiz Zam
AHMAD Faizal. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam perkembangan berkaitan, Beliau berkata, pihaknya sudah menggerakkan bantuan awal kepada penduduk di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

"Pejabat Ahli Parlimen Tambun dan Pejabat Daerah Kinta sudah menggerakkan bantuan awal kepada mereka yang terkesan di zon itu.

"Ia termasuk makanan kering, basah, dan barang keperluan bayi. Selain itu satu pusat sehenti turut dibuka di kawasan itu untuk meletakkan barang keperluan lain bagi bantuan kepada mereka yang terkesan dengan PKPD," katanya.

Semalam, NSTP melaporkan Kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di Zon B dan C, Taman Meru 2C, Ipoh serta Kampung Tegudon dan Kampung Nahaba, Kota Belud, Sabah selama 14 hari bermula lusa hingga 3 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, dua lokaliti di Taman Meru 2C itu membabitkan 2,288 penduduk dan 572 rumah manakala dua kampung di Kota Belud itu seramai 1,740 penduduk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 4:50 PM