Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti sebanyak 30 peratus penagih dadah di negara ini terbabit dengan kegiatan jenayah termasuk mencuri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sehubungan itu, tindakan drastik akan dilakukan dengan meningkatkan operasi bersepadu dan menggunakan khidmat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, walaupun banyak operasi dan rampasan dadah dilakukan di sempadan termasuk di Kelantan, namun kemasukan dadah ke negara ini masih tinggi berikutan permintaan tinggi.

"Mereka yang terbabit dengan dadah dan pada masa sama mendalangi kegiatan jenayah, itu yang membimbangkan.

"Kita mengenal pasti 30 peratus mereka yang terbabit dengan penagihan dadah turut melakukan jenayah termasuk curi dan peras ugut.

"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah. Tumpuan perlu diberikan kepada kedua-dua iaitu membanteras dadah dan pada masa sama memulihkan mereka yang terjebak dengan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan papan iklan memaparkan mesej anti dadah di hadapan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail atau Masjid Beijing di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 11 papan iklan akan diletakkan oleh AADK di Kelantan bagi memberi kesedaran khususnya kepada penduduk di sempadan Kelantan-Thailand.

Menurutnya, selain Rantau Panjang dan Pasir Mas, papan iklan itu akan dipasang di Tumpat, Jeli dan Tanah Merah.

Katanya, sebanyak 155 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah di seluruh negara termasuk 13 di Kelantan.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 7:07 PM