GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Polis menahan lelaki disyaki mencabul tiga anak tirinya berusia 14, 15 dan 20 tahun di rumah mereka di Bandar Baru Selayang, malam tadi.

Lelaki berkenaan disyaki melakukan tindakan jijik itu pada Februari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, perkara itu disedari ibu saudara dan abang mangsa yang kemudian membuat laporan polis semalam.

"Susulan itu polis menahan lelaki berusia 52 tahun di kawasan Selayang pada 12.40 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, siasatan mendapati suspek melakukan kegiatan keji itu ketika isterinya tidur.

"Suspek juga mencabul anak tirinya yang berusia 20 tahun yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam.

"Mangsa mendakwa ayah tirinya mengugut supaya tidak memberitahu kejadian berkenaan kepada sesiapa," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan perubatan.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 1:06 PM