GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Mengimpikan keuntungan berlipat kali ganda dalam sekelip mata menyebabkan seorang kerani berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM15,689.38 lebur ditipu sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.

Wanita berusia 33 tahun itu baru-baru ini ternampak satu iklan pelaburan dari syarikat 'Torque Market' yang menawarkan pelbagai pakej ketika melayari aplikasi Instagram lalu berminat kononnya dapat menggandakan wang yang disimpannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa terus menghubungi nombor yang terdapat dalam iklan itu untuk bertanyakan mengenai pakej pelaburan berkenaan.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang individu kononnya ejen syarikat pelaburan terbabit dan dia diterangkan mengenai pakej serta cara untuk melabur.

"Pada mulanya, mangsa diminta untuk buat bayaran ke dalam akaun bank diberi sebanyak RM500 untuk mendapatkan pulangan RM2,250 dalam masa sehari.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa diminta lagi untuk buat tambahan bayaran untuk pelbagai cukai kerana wang pelaburan mangsa sentiasa meningkat setiap hari.

"Mangsa yang tidak menyedari teknik penipuan itu membuat tujuh kali transaksi ke tujuh akaun bank berlainan berjumlah RM15,689.38," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa akhirnya sedar ditipu apabila dia diminta membuat lagi bayaran tambahan namun wang simpanannya sudah habis.

"Mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kini siasatan untuk mengenalpasti akaun bank terbabit sedang dilaksanakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 4:43 PM