GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan akan dibekalkan dengan makanan berbungkus selaras dengan prosedur standard operasi (SOP) akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan wabak, selain memudahkan anggota bertugas daripada pelbagai agensi keselamatan menjaga 'penghuni' di setiap PPS.

Beliau berkata, makanan dan minuman disediakan seperti biasa, tetapi dibungkus terlebih dahulu bagi memudahkan proses agihan dan tidak digalakkan bergotong-royong memasak beramai-ramai seperti sebelum ini.

"Penyediaan makanan terbabit diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab di setiap PPS sebanyak tiga kali sehari.

"Semua makanan itu akan dipastikan dalam keadaan baik dan bersih bagi menjaga keselamatan dan kesihatan setiap mangsa banjir.

"Selain itu, PPS tahun ini bertambah dua kali ganda daripada jumlah asal berikutan pembahagian tempat serta jarak setiap keluarga yang perlu dipatuhi mengikut SOP ditetapkan serta pemeriksaan suhu badan," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat banjir bersama Jabatan Meteorologi Kelantan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini, hari ini.

Sementara itu, tiga lokasi turut dijadikan sebagai penempatan untuk mangsa banjir yang memakai 'gelang merah jambu' iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Kota Bharu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Pengkalan Chepa dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas.

Zainudin yang juga Pengarah APM Kelantan turut menasihatkan penduduk yang tinggal di sekitar lembangan sungai iaitu Sungai Kelantan, Sungai Semerak dan Sungai Golok supaya lebih peka dengan paras air jika hujan lebat melanda.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 8:00 PM