DOUGLAS Uggah ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO Jabatan Penerangan
DOUGLAS Uggah ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO Jabatan Penerangan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki di sini, ditamatkan esok.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia susulan semua keputusan saringan terhadap 3,264 penduduk diperolehi hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya 33 yang diuji didapati positif Covid-19.

"Semua keputusan saringan kedua diperolehi hari ini dan tiada jangkitan baru di Kampung Haji Baki selain tiada bukti yang menunjukkan jangkitan menular di kawasan itu, justeru PKPD ditamatkan esok.

"Kami berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam PKPD di kampung itu termasuk ketua masyarakat dan semua penduduknya yang memberikan kerjasama serta komitmen sepenuhnya dalam menangani wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak Bilik Media, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

PKPD dikuatkuasakan selama 14 hari di Kampung Haji Baki bermula 28 Oktober hingga 10 November selepas mencatatkan 25 kes positif sejak pengesanan pertama pada 18 Oktober.

Bagaimanapun, pada 9 November lalu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mengumumkan PKPD di kampung itu dilanjutkan seminggu lagi sehingga 17 November berikutan keputusan saringan kedua belum diperolehi sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:08 PM