Zahidi Zainul Abidin.
Zahidi Zainul Abidin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ini bagi membolehkan rakyat terutama di Sabah dan Sarawak dapat menikmati akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi lebih menyeluruh.

"Di Sabah, bagi meluaskan rangkaian gentian optik, sebanyak 190,115 premis akan disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

"Untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, sejumlah 425 menara baharu akan dibina dan sebanyak 2,202 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul dibangkitkan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mencadangkan kerajaan menjelaskan status liputan Internet di negara ini khususnya di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia.

Zahidi berkata, untuk meluaskan rangkaian gentian optik di Sarawak pula, sebanyak 58,371 premis akan disediakan akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabit.

Menurutnya, bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih di negeri itu, sejumlah 692 menara baharu akan dibina dan 2,041 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G.

Katanya, sehingga suku kedua tahun ini, kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G di Sabah ialah pada tahap 73.41 peratus dan di Sarawak pada tahap 73.67 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 2:35 PM