Nasrudin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk Orang Asli di Pos Brooke yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Nasrudin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk Orang Asli di Pos Brooke yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Usaha membanggakan apabila Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berjaya melahirkan 20 Da'i dalam kalangan belia Orang Asli dari seluruh negara tahun ini.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, kejayaan itu berdasarkan komitmen tinggi ditunjukkan belia Orang Asli untuk menjadi da'i dan mengikuti latihan yang disediakan.

Katanya, antara da'i Orang Asli yang dipilih itu termasuk tiga daripada Gua Musang, manakala selebihnya dari Selangor, Pahang dan Perak.

Beliau berkata, mereka ini diberi latihan di Kem Latihan Yadim di Hulu Langat, Selangor.

"Alhamdulillah, nampaknya mereka bersungguh-sungguh belajar dan mengikuti latihan di kem latihan Yadim di Hulu Langat. Jumlah peserta akan ditambah selepas ini, " katanya selepas melancarkan Kembara Bulan Dakwah 2020 Masyarakat Orang Asli membabitkan 10 kampung sekitar Pos Brooke dan Hendrop di sini, tadi.

Program bulan dakwah itu anjuran bersama Yadim, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Nasrudin mengakui da'i Orang Asli dari Grik, Perak menunjukkan perkembangan terbaik apabila mereka membuka kelas pengajian agama kepada kaum mereka.

"Apabila mereka boleh mengembangkan syiar Islam dalam kalangan kaum, kita 'orang luar' hanya datang untuk pemantauan sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 6:53 PM