Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Muar: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima sebanyak 1,929 aduan berhubung kes keganasan rumah tangga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada keseluruhan aduan itu, Selangor dan Johor merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan kes dengan masing-masing sebanyak 375 dan 264 aduan.

Bercakap kepada media selepas melawat Depot Keperluan Bencana Zon Selatan di Parit Keroma di sini, hari ini, beliau berkata, aduan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 itu membabitkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual.

"Sebab itu di dalam Belanjawan 2021, kita menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat untuk memberikan perlindungan kepada mangsa yang mana projek rintisnya akan dimulakan di Johor dan Selangor," katanya.

Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas menyaksikan antara lain kerajaan mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi menyediakan pusat sokongan sosial setempat sebagai usaha menangani isu keganasan rumah tangga.

Pusat yang akan dikendali dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan itu menyediakan perlindungan sosial serta sokongan moral kepada golongan wanita bagi mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 4:40 PM