Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya juga akan menjadualkan semula semua pentaksiran berkaitan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia akan dimaklumkan kemudian.

Menurutnya, penjadualan semula peperiksaan awam tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember ini.

"Bagi penuntut IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022.

"Penuntut IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Januari 2021," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama mendukung usaha yang dilaksanakan kementeriannya.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin. Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin. Foto Mohd Fadli Hamzah

"Yakinlah bahawa setiap langkah yang diatur KPM adalah bagi memastikan generasi masa depan negara mendapat pendidikan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar," katanya.

Berita berkaitan:

  • Semua sekolah tutup
  • Sesi persekolahan 2021 mula 20 Januari
  • Tarikh peperiksaan awam 2020 dipinda
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 12:36 PM