HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan negeri Johor yakin peruntukan Belanjawan 2021 yang diberikan kepada negeri ini mampu menjana peluang pekerjaan dan memacu pemulihan ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Belanjawan 2021 bertemakan "Teguh Kita, Menang Bersama" itu mengutamakan kesejahteraan rakyat yang terjejas kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang mengutamakan pemulihan ekonomi Johor dan penjanaan peluang pekerjaan bagi rakyat dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pelbagai peruntukan untuk memelihara kebajikan rakyat melalui subsidi, bantuan dan insentif menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap suara hati rakyat.

"Antaranya adalah insentif RM100 juta kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk program melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terjejas akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

"Program reskilling dan upskilling ini tentu akan memartabatkan pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran rakyat Johor dan memudahkan pencarian sumber pendapatan baharu.

"Selain itu, saya juga menyambut baik projek infrastruktur yang akan diteruskan di negeri Johor seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid (RTS) dari Johor Bahru ke Woodlands serta usaha perbincangan lanjut dengan Singapura berkenaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

"Projek infrastruktur ini amat penting bagi memudahkan pergerakan rakyat Johor, merangsang pembangunan kawasan baharu dan melonjakkan potensi negeri Johor sebagai destinasi pelaburan serantau yang kompetitif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hasni berharap, kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan usaha membuka sempadan demi merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, memudahkan mobiliti pekerja di samping meningkatkan kualiti ekosistem pelaburan di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:41 PM