AFFENDI (tengah) mendahului senarai 147 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Sultan Nazrin Muizzudin Shah. FOTO ARKIB NSTP
AFFENDI (tengah) mendahului senarai 147 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Sultan Nazrin Muizzudin Shah. FOTO ARKIB NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai 147 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Affendi dan Acryl Sani dikurniakan dengan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Penganugerahan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada 11 tokoh dan individu.

Mereka adalah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Dr Nordin Kardi; Pakar Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi & Uroginekologi Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr A Aruku; Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Dr Faridah Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Adzman Talib; Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ishak Abd Rahman; Pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Bahari Belaton.

Turut menerima DPMP ialah Pengasas Ketua Pegawai Eksekutif Institute Of Advanced Islamic Studies (IAIS), Prof Dr Mohammad Hashim Kamali; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar Negeri, Tuan Chuah Teong Ban; Pakar Perunding Jabatan Surgeri Ortopedik Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Kwan Mun Keong dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Dr Saunthari Dharmalingam.

Lima individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain; Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tuan Mior Faridalathrash Wahid.

Turut menerima DPTS ialah Ketua Pengarah Cawangan Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan Bahagian Perkhidmatan Kejuteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Ir Anhar Anuar; Inspektor Jeneral dari Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Pengarah kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigadier Jen Dr Nor Azam Jais.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin, berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak hanya akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa penularan wabak pandemik Covid-19.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa penularan wabak pandemik Covid-19, acara rasmi utama bersempena sambutan seperti Majlis Santapan DiRaja, Istiadat Kawalan Kehormatan serta Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu dan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Hanya Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) pada solat Jumaat hari ini.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.

Jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini terhad jika dibandingkan dengan jumlah penerima pada tahun lalu dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang mendapat perkenan Sultan Perak untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat.

Pengurniaan Darjah Kebesaran dan pingat pada tahun ini tertumpu kepada pasukan barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:14 AM