DUA kanak-kanak bermain air banjir di perkarangan  rumah mereka  di Kampung Kuala Sawah, Rantau, semalam. FOTO Bernama
DUA kanak-kanak bermain air banjir di perkarangan rumah mereka di Kampung Kuala Sawah, Rantau, semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar Incorporated (MBI) hari ini menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada 1,000 isi rumah yang terjejas oleh banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi di Seremban, Port Dickson dan Rembau, semalam.

Dalam sidang media di sini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan diserahkan kepada ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ampangan, Rahang, Mambau dan penyelaras DUN Rantau, Kota dan Linggi untuk disampaikan kepada semua mangsa yang terlibat secepat mungkin.

"Kerajaan negeri amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan mendoakan agar mereka (mangsa banjir) sabar dan tabah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, 16 lori tangki disediakan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) untuk membekalkan air bersih di kawasan yang terputus bekalan berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi akibat hujan lebat semalam.

"Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan malam semalam dan pagi tadi saya telah turun melihat progres kerja, dan hingga 3 petang tadi kerja-kerja pembaikan di tahap 70 peratus.

"Kalau selesai hari ini, bekalan air dijangka dapat disalurkan sekitar 7 pagi esok. Selain Sains yang menyediakan bantuan bekalan air, kita juga mendapat bantuan daripada Selangor, Melaka dan Johor serta negeri-negeri lain sekitar 15 buah lori tangki," katanya.

Semalam, Sains menyatakan runtuhan tebing Sungai Linggi mengakibatkan gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air Sungai Linggi dan menjejaskan 45,067 akaun di kawasan Seremban dan Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:47 PM