Foto hiasan
Foto hiasan
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Syarikat telekomunikasi negara sekali lagi berganding bahu bagi meringankan beban petugas barisan hadapan, membantu golongan memerlukan dan rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, menerusi kempen 'To Malaysia With Love', syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), TIME dan U Mobile bersepakat menghulurkan sumbangan bernilai RM6 juta melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN diterajui Yayasan Hasanah.

Majlis penyerahan sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu majlis ringkas, hari ini.

"Pihak GDRN dan Malaysian Coordination & Action Hub (MATCH) akan bertindak menyelaraskan sokongan industri telekomunikasi ini dalam membantu kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

"Selain sumbangan wang tunai melalui GDRN, kebanyakan syarikat telekomunikasi turut melanjutkan penawaran Internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 31 Disember ini di samping memperkenalkan pakej khas," katanya.

Menurutnya, bagi pakej khas, Celcom bekerjasama rapat dengan Malaysian Relief Agency (MRA) sejak April lalu dengan menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan kepada golongan B40 yang menetap di kawasan yang terkesan akibat Covid-19 di Sabah.

Katanya, Celcom juga menyediakan pelan Internet bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pek sim prabayar XPAX di pusat-pusat kuarantin seluruh negara sebagai menyokong keperluan kesalinghubungan.

Selain itu, Digi juga memperkenalkan Pakej JENDELA Belia Sabah merangkumi produk Digital Prepaid NEXT yang menawarkan akses Internet tanpa had dan panggilan kepada semua rangkaian.

Di samping itu, Maxis turut memberi sokongan kepada kerajaan melalui inisiatif memerangi pandemik Covid-19.

"Dengan kerjasama KKM, Maxis menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan bagi hospital serta pihak berkuasa dan berkolaborasi bersama kerajaan negeri memberikan sokongan komunikasi terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Dalam pada itu, U Mobile dengan kerjasama Hanafundme turut membantu golongan pelajar di Sabah agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajarannya.

"Di bawah inisiatif itu, U Mobile menjalinkan kerjasama dengan Huawei untuk menaja sebanyak 60 peranti mudah alih lengkap dengan pelan pascabayar GX68 untuk tempoh selama setahun, yang akan dimanfaatkan guru dan pelajar yang memerlukan di kawasan pedalaman di Penampang, Ulu Papar dan Tamparuli," katanya.

Sementara itu, TM pula menyediakan sambungan perkhidmatan jalur lebar 100Mbps di Hospital Medan ATM Tawau dan 800Mbps di pusat kuarantin dan PPR Bubul Ria, Semporna.

"Sumbangan bernilai lebih RM5.8 juta turut dihulurkan menerusi usaha-usaha program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di hospital, pusat kuarantin, pembelian bekalan perubatan dan keperluan asas melalui pelbagai sumber seperti Tabung Covid-19 kerajaan, GDRN, zakat TM, tabung sumbangan peribadi Warga TM dan TM Family Care Packages.

"Dana yang disumbangkan kepada GDRN oleh TIME pual digunakan untuk membeli bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ventilator," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 3:25 PM