Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 49,983 penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) didapati menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 7,148 graduan masih meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas tamat pengajian.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam memastikan pendidikan tinggi negara berupaya melahirkan graduan IPT yang holistik dan seimbang daripada aspek ilmu dan akhlak, bercirikan usahawan serta berupaya untuk menjadi pemimpin yang cemerlang pada masa depan.

"Kita merangka enam usaha untuk menambah bilangan usahawan dalam kalangan penuntut seperti menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian melalui program keusahawanan," katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai usaha bagi menambah bilangan usahawan dalam kalangan graduan dan kejayaan serta contoh pencapaian mereka.

Selain itu, Noraini berkata, antara usaha lain dengan menjadikan modul Kursus Asas Keusahawanan sebagai subjek wajib di IPT untuk memastikan semua penuntut pelbagai bidang pengajian mendapat pendedahan keusahawanan secara berstruktur.

"Selain itu, menyediakan program pembiayaan mikro sebagai galakan kepada penuntut untuk memula dan mengembangkan perniagaan dan terkini KPT dengan kerjasama Tekun Nasional merangka program KPT-MEDAC dengan peruntukan RM20 juta," katanya.

Noraini juga menyebut dua contoh usahawan graduan yang mempamerkan kejayaan cemerlang iaitu Arif Tukiman, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Noorain Mohd Said dari Universiti Malaya.

DATUK Dr Noraini Ahmad pada hari ketiga Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Dr Noraini Ahmad pada hari ketiga Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. FOTO Aizuddin Saad

"Arif adalah Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat RunCloud yang berpangkalan di Cyberjaya yang menguruskan lebih 230,000 aplikasi web dari lebih 100 negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom dan India yang menjadi pasaran utama syarikat ini.

"Manakala Noorain pula pengasas Norah Organic Hair Removal yang menceburkan diri dalam bidang penjagaan diri dan perniagaan dalam talian hingga berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke Singapura, Brunei, Thailand dan Korea," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 2:05 PM