AMIRUDIN Shari di persidangan DUN Selangor, kelmarin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
AMIRUDIN Shari di persidangan DUN Selangor, kelmarin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 122 projek perkilangan diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor bermula Januari hingga Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 122 projek perkilangan yang diluluskan itu membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM3.39 bilion.

"Daripada jumlah pelaburan keseluruhan, sejumlah RM1.83 bilion adalah pelaburan tempatan manakala RM1.56 bilion adalah pelaburan asing.

"Sektor pembuatan makanan membawa jumlah modal terbesar sehingga Jun lalu iaitu RM1.16 bilion," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosni Sahar (BN-Hulu Bernam) berhubung pelaburan domestik di Selangor.

Amirudin berkata, sekiranya melihat data yang dikeluarkan MIDA secara keseluruhan sehingga September dengan memasukkan keseluruhan sektor, Selangor merekodkan pelaburan RM11 bilion.

Katanya, nilai pelaburan itu menjadikan Selangor berada di tempat kedua selepas Sabah yang merekodkan pelaburan berjumlah RM13 bilion.

"Selain itu, kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai program untuk memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini (pelabur).

"Walaupun kita dilanda wabak Covid-19, ia tidak menghalang kita dalam melaksanakan program promosi yang sudah dirancang sebelum ini menerusi pelbagai cara iaitu webinar, pameran secara maya serta program fizikal yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 12:08 PM