Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebanyak 1.37 juta talian prabayar yang didaftar secara meragukan dikesan sehingga Oktober lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 920,217 talian ditamatkan perkhidmatan dan 457,645 dikemaskini dengan maklumat yang sah.

"Daripada aspek pengawalseliaan industri, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian telefon prabayar untuk memastikan bahawa semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

"Ini bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan seumpamanya," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai inisiatif kementerian untuk memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber.

Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) juga melaksanakan strategi komunikasi yang terancang melalui saluran platform media sosial rasmi JaPen bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Antara inisiatif kementerian untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat melalui rancangan bual bicara, laporan berita, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program radio dan televisyen.

"Melalui CyberSecurity Malaysia (CSM) juga turut membantu rakyat menangani penipuan siber melalui program kesedaran keselamatan siber.

"CSM juga menyalurkan kepakaran teknikal keselamatan siber melalui kerjasama yang erat dengan agensi penguat kuasa seperti PDRM dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna)," katanya.

Menurutnya, kegiatan penipuan atau 'scam' sama ada secara dalam talian atau luar talian tertakluk di bawah bidang kuasa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPNHEP, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi berkenaan tertakluk kepada bentuk penipuan dijalankan.

"Bagi perkara berkaitan siasatan, terdapat Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC ditubuhkan dan digerakkan dan sentiasa diperkasakan bagi menerajui gerak kerja dan tindakan yang lebih strategik dan tersusun antara PDRM dan SKMM dalam membanteras jenayah siber termasuklah berkaitan penipuan atau scam.

"Kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya dalam perkongsian maklumat dan kepakaran adalah bertepatan bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan supaya dapat menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 11:40 AM