GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Padah cuba memperdayakan pihak polis dengan memalsukan enam keping permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ihmad Erman, 24, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa memalsukan enam keping borang pergerakan PKPB pada 11.30 malam, 26 Oktober lalu di Jalan Conlay, Dang Wangi, di sini, mengikut Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pegawai polis dari Unit Rondaan Bermotor cawangan Dang Wangi menahan tertuduh yang cuba memperdayakannya dengan mengemukakan dokumen permit PKPB disyaki palsu dan hasil siasatan polis, terdapat beberapa keping dokumen permit pergerakan PKPB palsu yang dicop dengan cop ketua balai polis Gombak di dalam beg tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, mengambil kira faktor tertuduh tidak seharusnya bersifat mementingkan diri ketika penularan pandemik Covid-19.

Tertuduh yang diwakili peguam Zolazrai Zolkipli, memohon hukuman denda ringan atas alasan tempoh reman selama lapan hari memberi pengajaran kepadanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 3:05 PM