Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sebanyak 153 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya membabitkan pelbagai kesalahan menerusi Ops Mabuk dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor bermula 9 malam hingga 2 pagi, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 18 individu berusia 32 hingga 56 tahun ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk pada operasi serentak dijalankan di lapan daerah.

Katanya, kekuatan keseluruhan JSPT Johor bagi Ops Mabuk itu membabitkan 11 pegawai kanan dan 65 anggota di lapan lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang ditetapkan.

"JSPT akan sentiasa membuat operasi yang konsisten tidak kira kesalahan apa. Lori perdagangan ke, mabuk ke dan sejak penguatkuasaan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 ia boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000, lesen mungkin akan digantung.

 AYOB Khan (kanan) menyertai Ops Mabuk JSPT Johor di Stulang Laut. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan (kanan) menyertai Ops Mabuk JSPT Johor di Stulang Laut. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Sejak 23 Oktober hingga semalam, polis sudah melaksanakan 25 operasi dengan 42 tangkapan yang mana 19 daripadanya sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (hukuman baharu).

"Pindaan baharu kandungan alkohol dikurangkan kepada 50 miligram. Sama ada ia berkesan atau pun tidak, ia bergantung kepada masyarakat patuh atau tidak patuh.

"Kerajaan buat undang-undang, kita buat pindaan yang dibentangkan di parlimen adalah peraturan yang betul dan sudah dipertimbangkan, bukannya kita buat secara terdesak dan sebagainya ia adalah untuk memastikan kes kemalangan ini dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan di Stulang Laut, malam tadi.

Ayob Khan berkata, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 346 Ops Mabuk dengan 662 tangkapan membabitkan jumlah yang dituduh adalah 627 orang mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Waktu ada pertuduhan, ada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan kenapa undang-undang kita terlalu keras. Inilah yang kita katakan ini, bila ada undang-undang tidak mahu ikut, mempertikaikan undang-undang.

"Tapi apabila terjadi insiden, jadi isu besar. Saya rasa kalau rakyat semua faham, perkara ini tidak akan berlaku. Bukannya kita tidak benarkan mereka minum, tapi ikut peraturan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:55 AM