Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditugaskan menghantar barangan bantuan kesihatan selamat tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.

Pesawat berkenaan sebelum itu melakukan penerbangan ke Kuching, Sarawak sebelum ke Tawau sebelum tiba di Kota Kinabalu pada 11.20 malam.

Ia membawa kira-kira 15 tan barangan bantuan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antaranya 150 set peralatan perlindungan diri (PPE), 150 kotak pelindung muka, 50 kotak 'jumpsuit' dan tiga kabinet keselamatan biologi.

Selain itu, pesawat sama juga membawa 100 kotak sarung tangan getah seberat 649 kilogram dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut dibawa barangan daripada Yayasan Amal Malaysia seperti 25 kotak naskah al-Quran, dua kotak tudung dan lima kotak pakaian serta peralatan lainnya.

Pesawat yang mendarat cemas di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai dialihkan ke kawasan lapang. Foto Omar Ahmad
Pesawat yang mendarat cemas di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai dialihkan ke kawasan lapang. Foto Omar Ahmad

Pesawat berkenaan turut ditugaskan membawa pelitup muka dan PPE daripada Kementerian Pertahanan selain 44 kotak serta barangan sumbangan Sunway Healthcare berisi peralatan ventilator, pelitup muka dan cecair basmi kuman.

Terdahulu, pesawat pengangkut kedua TUDM, C130H tiba di KKIA pada 3.25 petang bagi misi menghantar barangan keperluan kritikal untuk menangani pandemik Covid-19 di Sabah.

Berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 10.30 pagi, pesawat terbabit membawa lima tan barangan kelengkapan KKM seperti set PPE (400 kotak), pelindung muka (50 kotak) dan 'jumpsuit' (50 kotak).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:16 AM