RAKYAT Malaysia yang menjadi penggerak inisiatif kaunseling percuma bagi membantu pekerja Malaysia di Singapura. FOTO Ihsan Sukarelawan
RAKYAT Malaysia yang menjadi penggerak inisiatif kaunseling percuma bagi membantu pekerja Malaysia di Singapura. FOTO Ihsan Sukarelawan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Empat sukarelawan rakyat Malaysia di Singapura menawarkan khidmat kaunseling percuma kepada pekerja Malaysia yang berhadapan tekanan dan kemurungan, berikutan tidak dapat pulang ke negara ini sejak Mac lalu.

Ia susulan beberapa pendedahan dan perkongsian rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu menerusi media sosial, mengakui terlalu merindui keluarga mereka sehingga menjejaskan semangat dan menjadikan jiwa mereka kekosongan.

Seorang rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan sebuah pertubuhan sukarela di republik itu, Preshela Palanyandy berkata, dia bersama tiga lagi rakyat Malaysia di Singapura, kini menggerakkan inisiatif kaunseling percuma bagi membantu rakyat negara ini yang berdepan tekanan.

Preshela yang juga kaunselor bertauliah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia berkata, inisiatif kaunseling percuma digerakkan kumpulan mereka itu sudah dimulakan sejak minggu lalu dengan menerima pertanyaan menggalakkan hampir 100 rakyat Malaysia di Singapura bagi mendapatkan bantuan dan sokongan emosi.

Menurutnya, kebanyakan mereka mengakui tidak dapat pulang bercuti bertemu keluarga sama ada terdapat kekangan dan halangan daripada majikan, tidak mampu membayar kos kuarantin wajib selain risau diminta meletak jawatan jika berkeras mahu bercuti.

Katanya, mereka juga beranggapan sempadan hanya akan ditutup selama dua minggu namun apabila ia masih berterusan hampir lapan bulan, ia menyebabkan mereka tidak cukup bersedia dari segi mental.

"Tekanan sedemikian menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang sejak Mac lalu, kini menghadapi sindrom burnout.

"Sindrom burnout ini disebabkan keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan berlebihan yang berpanjangan.

"Situasi ini terjadi apabila diri diselubungi kesedihan dan tidak dapat memenuhi keperluan diri atau terlalu banyak tekanan kerja dalam jangkamasa yang amat panjang," katanya ketika dihubungi NSTP.

Dianggarkan lebih 25,000 pekerja Malaysia kini tinggal di Singapura sejak Mac lalu, sebaik sempadan kedua negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

Sejak bulan lalu, ratusan pekerja Malaysia di republik itu berkongsi kerinduan mendalam terhadap keluarga secara terbuka di media sosial malah ramai mendakwa berdepan tekanan melampau berikutan lama meninggalkan keluarga di negara ini.

Sehubungan itu, Preshela bersama tiga rakyat Malaysia iaitu Ain Zaidatulazira Omar, Visvani Balan dan seorang lagi individu, menggerakkan inisiatif kaunseling percuma yang akan memulakan sesi berkumpulan pertama mereka pada minggu depan.

Preshela berkata, pada sesi berkumpulan pertama itu sesi suai kenal akan diadakan selain penerangan mengenai isu kesihatan mental termasuk cara asas menangani tekanan dan keletihan jiwa.

"Saya dan rakan sukarelawan Malaysia yang lain akan menekankan sisi positif setiap pekerja Malaysia di Singapura yang kini sedang yang berjuang dan melakukan pengorbanan untuk kehidupan selesa keluarga mereka di Malaysia, dan mereka wajar berbangga dengan pengorbanan itu.

"Selepas itu, baharulah saya dan sukarelawan akan memecahkan mereka kepada kumpulan lebih kecil, bergantung pada lokasi tempat tinggal mereka.

"Setiap lokasi akan mempunyai sukarelawan bertugas yang boleh mendengar luahan hati mereka selain menganjurkan aktiviti sihat termasuk mendaki, berjoging atau pun acara makan beramai-ramai, supaya semua yang terbabit dapat meredakan tekanan perasaan dan kemurungan mereka, " katanya.

Beliau berkata, dia dan sukarelawan Malaysia yang lain juga akan membantu mendapatkan bantuan sewajarnya termasuk jika ada pekerja Malaysia yang menghadapi masalah dibuang kerja dan tidak tahu ke mana arah tuju berikutan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 5:39 PM