DOUGLAS (kanan) mendengar penerangan ketua pusat operasi PKPD Kampung Haji Baki, Dr Majorie  Ensayan ketika melawat pusat berkenaan hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
DOUGLAS (kanan) mendengar penerangan ketua pusat operasi PKPD Kampung Haji Baki, Dr Majorie Ensayan ketika melawat pusat berkenaan hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi

Kuching: Tiada arahan larangan perjalanan keluar dan masuk ke Kuching, walaupun daerah itu sudah diisytiharkan sebagai kawasan zon merah Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, bagaimanapun penduduk dari luar Kuching dinasihatkan supaya tidak mengunjungi daerah itu jika mereka tidak mempunyai alasan yang sangat mendesak atau urusan penting.

"Begitu juga bagi mereka yang tinggal di Kuching. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berharap mereka tidak pergi ke daerah lain di negeri ini ketika ini.

"Terus kekal di rumah untuk menjamin keselamatan kita sendiri dan juga orang lain," katanya kepada media selepas melawat bilik operasi di perkarangan masjid di Kampung Haji Baki di sini.

Bilik operasi itu ditubuhkan bagi mengawal Kampung Haji Baki berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung berkenaan, sejak malam tadi.

Mengenai PKPD di Kampung Haji Baki itu yang pertama dilaksanakan di negeri ini sejak Covid-19 melanda awal tahun ini, Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengenai PKPD itu yang akan memberi kesan kepada orang ramai khususnya komuniti perniagaan.

"Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menguatkuasakan PKPD di Kampung Haji Baki sahaja manakala di kawasan lain seperti kawasan Green Hill yang kes positif tiba-tiba meningkat menjadi 20 orang semalam, kami hanya melakukan Pengesanan Kes Aktif (ACD).

"PKPD perlu dikuatkuasakan di Kampung Haji Baki kerana peningkatan kes positif yang membimbangkan dan kami mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menguatkuasakannya," katanya.

Katanya lagi, seramai 4,196 orang dari 627 rumah di tiga blok di kampung itu terbabit dalam PKPD itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:07 PM