Nurul Hidayah Bahaudin

Bangi: Seramai 215 anggota terdiri daripada pelbagai agensi terbabit dalam penugasan kawalan dan pengawasan di Plaza Hentian Kajang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula semalam hingga 10 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain berkata, daripada jumlah itu, 93 anggota terbabit dalam operasi saringan Covid-19 di kawasan berkenaan.

"Polis Diraja Malaysia bertanggungjawab melaksanakan kawalan di kawasan itu dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia.

"Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan kebenaran PDRM," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

NAJMUDDIN (kanan) bersama Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan (kiri) pada sidang media berhubung PKPD di Plaza Hentian Kajang di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
NAJMUDDIN (kanan) bersama Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan (kiri) pada sidang media berhubung PKPD di Plaza Hentian Kajang di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Najmuddin berkata, pejabat agensi kerajaan dan swasta yang berada di kawasan itu ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.

"Beberapa pejabat agensi kerajaan yang berada di kawasan itu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri ditutup.

"Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

"Majikan dipohon untuk mengambil maklum berhubung perintah ini dan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah," katanya.

Beliau berkata, kedai membekalkan barangan asas dan kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 2 petang sepanjang tempoh PKPD.

"Hanya ketua keluarga atau seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan.

"Pada masa sama semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan.

"Rumah ibadat, tadika, taska, pusat jagaan kanak-kanak, pusat rekreasi dan taman permainan juga perlu ditutup," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan bersasar kepada penduduk terjejas di kawasan itu.

"Kerajaan negeri akan memberi bantuan bakul makanan kepada penduduk dan ia akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Bagi pengumpulan sumbangan barang oleh pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan pula, ia perlu diselaras melalui jawatankuasa sama dan dibantu oleh JKM Daerah," katanya.

Mengulas mengenai jumlah kes dan penghuni di Plaza Hentian Kajang yang menjalani saringan, beliau berkata, perkara itu hanya akan dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang bermula semalam hingga 10 November ini susulan peningkatan kes positif di kawasan terbabit.

Beliau memaklumkan seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:03 PM