Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, menasihati pengamal perubatan untuk menghentikan sementara penggunaan produk vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra, sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia susulan laporan kes kematian yang dikaitkan dengan kedua-dua produk vaksin influenza itu di Korea Selatan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof, berkata, terdapat sembilan produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, termasuk dua produk vaksin influenza yang dikaitkan dengan kes kematian di Korea Selatan iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan Vaxigrip Tetra.

Beliau berkata, hanya Vaxigrip Tetra, 'Suspension for Injection in Prefilled Syringe' sahaja yang dibekalkan di fasiliti kesihatan KKM.

"Syarikat Sanofi Pasteur (pengeluar produk Vaxigrip Tetra) memaklumkan bahawa nombor kelompok produk Vaxigrip Tetra yang digunakan di Korea Selatan, tidak terdapat di pasaran negara lain, termasuk Malaysia.

"Setakat ini juga, tiada kes kematian yang dilaporkan susulan imunisasi vaksin influenza (quadrivalen) di negara ini," katanya semalam..

Dr Faridah berkata, KKM akan memaklumkan perkembangan berkenaan situasi itu selepas maklumat lanjut diperolehi selain menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan sentiasa terjamin.

Beliau berkata, KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

"KKM mengambil maklum akan MOH Circular No. 214/2020 yang dikeluarkan oleh Health Science Authority (HSA), Singapura pada 25 Oktober 2020 bertajuk 'Temporary Cessation on The Use of Two Influenza Vaccines' mengenai pemberhentian sementara penggunaan dua produk vaksin influenza, iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

"Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan terdapat laporan kes kematian dikaitkan dengan kedua-dua produk tersebut di Korea Selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:25 PM