PRESIDEN Cuepacs Adnan Mat (tengah) melihat suasana dalam Anjung Singgah.
PRESIDEN Cuepacs Adnan Mat (tengah) melihat suasana dalam Anjung Singgah.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Negara dengan kerjasama Wanita Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengadakan makan malam bagi menyantuni golongan gelandangan yang kurang bernasib baik di Anjung Singgah, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Bahagian Wanita Cuepacs Malaysia, Jameelah Hussain berkata, Program Menyantuni Gelandangan Anjung Singgah Wanita Cuepacs itu bertujuan mengenali dan mendekati golongan gelandangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Seramai 32 penghuni mendapat sumbangan barangan penjagaan kebersihan seperti alat cecair pembasmi kuman, sabun mandi, tuala sebagai tanda ingatan.

"Rata-rata penghuni menyambut baik program ini dan turut berterima kasih kerana ada pihak yang masih mengambil berat pada golongan seperti mereka," katanya.

Jameelah berkata, program julung kali diadakan tahun ini itu juga membawa matlamat memberi sokongan mental dan moral kepada golongan gelandangan.

"Melalui program turun padang ini, ia memberi peluang kepada kami untuk memahami dan menyelami permasalahan penghuni di sini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga.

"Pihak kami mahu membantu golongan ini supaya mereka tidak tersisih daripada masyarakat dan sama-sama membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

Turut hadir dalam majlis makan malam itu, Presiden Cuepacs, Adnan Mat yang juga memberikan ceramah motivasi kepada penghuni Anjung Kasih agar terus tabah dan cekal menghadapi cabaran kehidupan.

Untuk rekod, Wanita Cuepacs adalah badan di bawah pucuk pimpinan Presiden Cuepacs serta mempunyai 95 ahli di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 1:43 PM