Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang lelaki warga Singapura dihukum penjara dua minggu dan denda RM10,000 selepas mengaku salah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam, Sabtu lalu.

Pengarah sebuah kilang plastik, Yong Boon Tao, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberi suapan wang tunai RM100 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen di Bahagian Pemeriksaan Bas di Bangunan Sultan Iskandar di sini, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang melanggar Skim Pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang boleh diusir menggunakan Notis Penolakan Masuk (NTL), jam 9.40 pagi, 24 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh kemudiannya membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan hukuman yang dijatuhkan mahkamah.

YONG Boon Tao warganegara Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai bernilai RM100. FOTO Zain Ahmed
YONG Boon Tao warganegara Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai bernilai RM100. FOTO Zain Ahmed

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam Hazza Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 1:08 PM