Penasihat MAINJ Datuk Dr Noh Gadut.
Penasihat MAINJ Datuk Dr Noh Gadut.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membuat perjumpaan bersama pemimpin daerah bagi memberi penerangan mengenai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak fahaman Hizbut Tahrir.

Penasihat MAINJ Datuk Dr Noh Gadut berkata, perjumpaan itu dijangka dibuat sama ada pada akhir Disember ini atau awal Januari depan.

"Kita ambil pendekatan penguatkuasaan yang paling akhir, ada yang kita panggil beri penerangan, Alhamdulillah ada yang memang tidak tahu dan sedar kembali ke pegangan yang asal iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pihak kami akan panggil semua pegawai kanan termasuk pegawai daerah untuk menerangkan sejelasnya perkara berkaitan Hizbut Tahrir yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya mereka boleh jadi mata dan telinga kami kepada masyarakat.

"Apabila kita dapat tahu awal, kita dapat selamatkan ramai orang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Aplikasi Pesanan dan penghantaran makanan halal pertama, Odejee di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berpandangan menggunakan undang-undang adalah sebagai langkah terakhir dalam menangani isu ini.

"Pada kami, undang-undang tidak boleh menyelesaikan masalah sehingga ke akar umbi, ia adalah perkara yang terakhir sekali dibuat.

"Kita perlukan kepada penerangan, mengenai fahaman sesat Hizbut Tahrir ini beberapa kali kita masukkan dalam khutbah Jumaat.

"Dengan hikmah budi bicara serta pemahaman, mungkin boleh mengubah mereka terlibat dengan fahaman ini untuk kembali ke pangkal jalan," katanya.

Kerajaan negeri memandang serius kewujudan pusat penyebaran Hizbut Tahrir Malaysia di Johor walaupun ancamannya masih terkawal serta tidak begitu membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 6:00 PM