GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Hasrat seorang pesara kerajaan mahu mendapatkan pinjaman wang bagi program infaq daging dianjurkannya bertukar `tragedi' apabila dia sebaliknya ditipu RM342,869 oleh sindiket pinjaman tidak wujud (PTW).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata, kejadian membabitkan mangsa berusia 62 tahun.

Katanya, mangsa diperdaya sindiket yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.

"Kejadian berlaku pada 29 September lalu apabila mangsa mahu mendapatkan pinjaman sebanyak RM200,000 daripada syarikat All Best Howly Enterprise yang disiarkan dalam laman sosial itu bagi tujuan membiayai program infaq daging yang diusahakannya.

"Selepas tertarik dengan tawaran pinjaman tertera, dia bersetuju untuk mendapatkan pinjaman itu dan memenuhi segala syarat dikenakan termasuk perlu membuat bayaran pemprosesan," katanya tadi.

Aibee berkata, tanpa usul periksa, mangsa mula melakukan pembayaran bermula pada 29 September sehingga 24 Oktober lalu membabitkan 71 transaksi di sembilan nombor akaun yang berbeza.

"Bagaimanapun, mangsa akhirnya menyedari ia adalah penipuan apabila diberitahu oleh anaknya pada 24 Oktober lalu selepas dia meminta bantuan anak membuat pembayaran.

"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa terpedaya dalam sindiket pinjaman tidak wujud melalui Instagram dan sudah membuat bayaran ke sembilan akaun bank berbeza berkenaan membabitkan jumlah wang RM342,869," katanya.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Seremban pada Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:44 PM