SUASANA Istana Negara pada Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu. FOTO ASWADI ALIAS.
SUASANA Istana Negara pada Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu. FOTO ASWADI ALIAS.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Raja-Raja Melayu berangkat pulang meninggalkan Istana Negara, di sini, sebentar tadi selepas menghadiri rundingan bagi membincangkan beberapa cadangan termasuk kemungkinan mengisytiharkan 'darurat kesihatan' untuk menangani peningkatan penularan Covid-19.

Keberangkatan pulang Raja-Raja Melayu didahului Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 5.13 petang.

Ia diikuti Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terakhir berangkat meninggalkan Istana Negara pada 6.06 petang.

Baginda sempat menurunkan separuh tingkap kenderaannya sambil melambai tangan kepada pengamal media.

Bagaimanapun, keberangkatan pulang Sultan Kelantan Sultan Muhammad V tidak dapat dipastikan.

Rundingan bersama Raja-Raja Melayu dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama lebih dua jam itu diadakan susulan cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, kelmarin.

Setakat ini, media masih menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara mengenai keputusan rundingan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 6:22 PM