Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan kira-kira 3,000 kes setahun pelbagai kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

Antara kesalahan yang dikesan termasuklah peralatan tidak ditentusahkan atau ditentusahkan semula, tidak menggunakan unit antarabangsa (SI Unit), tidak seimbang atau tidak tepat dan diganggu atau dimanipulasi.

Pengarah Bahagian Penguakuasaan KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, bilangan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan pada setiap tahun adalah sebanyak 440,000 unit.

Menurutnya, secara perundangan, setiap alat terbabit perlulah ditentusahkan setiap 12 bulan.

"Jadi pengguna tidak perlu khuatir dan meragui isu berhubung dengan ketepatan alat timbang dan sukat yang berada di pasaran.

"Berdasarkan rekod, kes yang membabitkan manipulasi adalah sangat sedikit dan Bahagian Penguat Kuasa sering membuat pemantauan berhubung dengan isu ini," katanya.

Beliau berkata, Kedah mencatatkan kes tertinggi tahun ini bagi kesalahan mengikut akta berkenaan iaitu sebanyak 446 kes, diikuti Perak 403 kes dan Sabah sebayak 378 kes.

Menurutnya, aktiviti pengukuran terbahagi kepada tiga iaitu Industrial Metrology, Scientific Metrology dan Legal Metrology.

"Bagi Industrial Metrology, kebanyakan peralatan ini digunakan dalam proses pembuatan di sektor pengilangan.

"Scientific Metrology pula adalah peralatan digunakan di makmal bagi tujuan kajian termasuklah dalam sektor ilmiah dan perubatan.

"Seterusnya ialah Legal Metrology iaitu alat timbang dan sukat yang dikategorikan bagi tujuan perdagangan termasuklah alat timbang neraca spring, alat timbang elektronik, alat sukat linar, penapis bahan api, air, meter parkir dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu bermula 18 hingga 31 Mac lalu, KPDNHEP memberi kelonggaran untuk peniaga menggunakan alat timbang dan sukat walaupun tamat tempoh.

"Bagaimanapun, selepas tempoh itu tugas penentusahan alat timbang dilaksanakan seperti biasa.

"Oleh itu, pengguna dinasihatkan agar sentiasa peka dengan barangan yang dibeli di pasaran dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada sesuatu yang mengelirukan.

"Aduan boleh dibuat menerusi talian hotline 1-800-886-800, melalui Twitter dan Facebook KPDNHEP, emel ke [email protected], aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDNHEP atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 11:14 PM