AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Mohamed Farid Noh

Pontian: Lebih 10,000 anggota polis Johor bersiap sedia untuk dikerahkan bagi menghadapi apa jua situasi termasuk kemungkinan perintah darurat dilaksanakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga sedia mengatur aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri sebagai persiapan bagi memastikan keamanan negeri terus terjamin.

"Isu perintah darurat kita kena tunggu kerajaan Pusat buat pengumuman dahulu, mungkin sehari dua ini ada penjelasannya. Biarlah Putrajaya serta Bukit Aman yang membuat penjelasan lanjut isu berkenaan.

"Namun, polis Johor sentiasa bersiap sedia hadapi setiap kemungkinan sekiranya perintah berkenaan diumumkan selain jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

"Dua hari lalu, saya juga sudah memeriksa aset Polis Johor termasuk Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Spekulasi tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat tersebar sejak semalam.

Ia bermula dengan mesyuarat khas Kabinet pada kira-kira 9.30 pagi di bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dilaporkan turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semua menteri masih berdiam diri mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat selama dua jam itu, yang berlangsung dua hari selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan meminta rakyat Johor tidak panik dan cemas terhadap apa jua keputusan yang akan diumumkan.

"Tak perlu panik. Kita tiada ancaman dari luar membabitkan keselamatan. Tidak perlu gusar. Cuma patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Kita kena pastikan isu penularan Covid-19 dapat dikekang di Johor, ini yang lebih utama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 2:39 PM