PETUGAS kesihatan bersedia melakukan tugasan mengutip sampel saringan Covid-19 di Pulau Gaya. FOTO Arkib NSTP.
PETUGAS kesihatan bersedia melakukan tugasan mengutip sampel saringan Covid-19 di Pulau Gaya. FOTO Arkib NSTP.
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah terus menerima perhatian pelbagai pihak yang membantu dalam menangani pandemik Covid-19 termasuk daripada Yayasan Petronas.

Yayasan itu menyumbang kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan bernilai RM2.5 juta untuk kegunaan hospital di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Menurut kenyataan dikeluarkan, sumbangan itu bagi menyokong usaha barisan hadapan perubatan dalam menangani peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Antara yang disumbangkan ialah penapis udara, alat bantu pernafasan, paparan (monitor) tanda penting dan paparan psikopi untuk penjagaan pesakit, kecemasan dan trauma, penjagaan rapi serta wad penjagaan rapi kanak-kanak.

Pengerusi Yayasan Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh berkata, sumbangan itu akan disalur berperingkat ke hospital memerlukan.

"Dengan jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi di Sabah, adalah penting untuk kita bersama-sama memerangi virus berkenaan.

"Melalui kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri, kami berharap sumbangan ini dapat membantu kerajaan negeri menangani gelombang ketiga Covid-19 secepat mungkin," katanya, hari ini.

Pada awal bulan lalu, Yayasan Petronas menyumbang 1,504 botol cecair pembasmi kuman, selain 2,500 keping pelitup muka perubatan dan 2,390 gaun perubatan kepada Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Yayasan juga menyumbang dua unit alat pengudaraan kepada hospital berkenaan, Ogos lalu dengan semua sumbangan adalah daripada peruntukan tambahan untuk bantuan bekalan perubatan kritikal bernilai RM20 juta.

Sehingga 30 Jun lalu, inisiatif Yayasan Petronas dalam menyokong usaha mengekang penularan Covid-19 di Malaysia sudah mencecah RM40 juta, termasuk sumbangan kakitangan sebanyak RM6.4 juta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 11:32 AM