GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Polis mengesan dua lelaki menaiki kereta Perodua Myvi yang membawa lari tabung derma di sebuah kedai dobi di Taman Melawati, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, Balai Polis Taman Melawati yang menerima maklumat mengenai kejadian itu menghantar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menghala ke tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, sebaik tiba, polis dimaklumkan dua lelaki disyaki masuk ke dalam premis dan terus melarikan tabung derma yang diletakkan di bahagian kaunter.

Menurutnya, suspek disyaki menaik Perodua Myvi di mana siasatan mendapati dakwaan kejadian samun yang tular di dalam media sosial adalah tidak benar.

"Tiada kejadian kejar berlaku antara suspek dengan pihak polis malah tabung derma yang dilarikan suspek mengandungi wang syiling sahaja dan kerugian adalah kecil.

"Sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk membuat laporan polis bersabit kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, pihak polis akan meningkatkan rondaan di kawasan tempat kejadian.

"Pihak polis menyaran orang ramai tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa jenayah supaya dapat menjalankan siasatan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 2:28 PM