GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis mensasarkan seramai 500 penagih tegar ditahan sepanjang tahun ini bagi membanteras masalah dadah di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, seramai 248 penagih tegar dan berulang sudah ditahan sejak awal tahun ini hingga Isnin lalu.

Menurutnya, terdapat dua kategori penagih dadah di Terengganu iaitu penagih tegar dengan ada antara mereka sudah berusia 50 tahun dan ke atas serta penagih baharu yang boleh dipulihkan.

"Penagih tegar ini mesti diasingkan dengan penagih baharu kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod keluar masuk penjara kerana kesalahan dadah selain turut terbabit dalam jenayah seperti curi dan pecah rumah.

"Mereka perlu diasingkan bagi mengelak mereka daripada mempengaruhi remaja dan penagih baharu untuk mengambil dadah.

"Remaja dan penagih baharu masih mempunyai peluang dipulihkan melalui program pemulihan disediakan," katanya.

Roslee berkata, pihaknya memperhebatkan tangkapan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana individu ditahan akan dihukum penjara dalam tempoh lebih lama iaitu antara lima hingga tujuh tahun serta dikenakan sebatan tidak lebih daripada tiga sebatan.

Katanya, tindakan mengikut seksyen itu dikenakan ke atas individu yang sudah disabit bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama sebanyak dua kali.

"Apabila penagih tegar ini ditahan, mereka akan berada dalam tempoh yang lama dipenjara, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kes jenayah.

"Sebagai contoh, jika dahulu kejadian curi motosikal yang menyumbang kepada kenaikan jenayah indeks tetapi sejak kita lancarkan tindakan agresif, ia menunjukkan penurunan yang ketara.

"Bertemakan 'Jihad Dadah', kita komited membanteras masalah penyalahgunaan dadah dan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan diteruskan untuk program pemulihan kerana penagih yang bukan kategori penagih tegar masih mempunyai peluang untuk dipulihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 2:06 PM