MOHAMMED Azman. FOTO arkib NSTP
MOHAMMED Azman. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima aduan berhubung kegiatan individu menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pekerjaannya menyasarkan mangsa dalam kalangan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kegiatan itu mencemar usaha Perkeso yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif bagi membantu Orang Berinsurans Perkeso dan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19.

"Dalam melaksanakan aktiviti mempromosikan perkhidmatan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) seperti hebahan jawatan-jawatan kosong, Perkeso secara telus berkongsi nama dan nombor telefon pegawai perkhidmatan pekerjaan kami bagi memudahkan orang ramai berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan yang disediakan ini.

"Namun begitu, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso menerusi media sosial menarik perhatian scammer (penipu) di luar sana untuk menjalankan aktiviti penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Laporan polis dibuat oleh pegawai kami, Khairul 'Ammar Hashim berhubung profail dan dua nombor telefon beliau yang digunakan oleh scammer untuk menipu beberapa rakan sekerja.

"Scammer ini menghubungi beberapa rakan sekerja Khairul 'Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke Akaun Maybank milik Muhd Nur Azami Manila," katanya.

Menurutnya, seorang rakan sekerja Khairul 'Ammar terpedaya dan memindahkan RM500 ke akaun itu selepas diminta oleh penyamar atas alasan tidak boleh mengakses perbankan dalam talian.

Sehubungan itu, Perkeso menasihati semua Orang Berinsurans Perkeso, majikan, orang ramai dan pegawai-pegawai Perkeso sendiri supaya lebih berhati-hati dengan taktik scammer agar tidak mudah tertipu.

Beliau turut menasihati mereka yang berkenaan agar menyemak dengan Perkeso atau melaporkan kepada organisasi itu sekiranya ada pihak yang meminta bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan Perkeso.

"Saya juga tegaskan, semua bantuan faedah dan perkhidmatan Perkeso kepada Orang Berinsurans adalah percuma dan kami tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:36 PM