PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020 yang dijadualkan pada 27 November ini di PWTC ditangguhkan. FOTO Arkib NSTP
PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020 yang dijadualkan pada 27 November ini di PWTC ditangguhkan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang dijadualkan pada 27 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mesyuarat Perwakilan Bahagian Umno turut ditangguhkan.

"Penangguhan ini membabitkan kira-kira 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 Bahagian Umno di seluruh negara.

"Oleh kerana begitu banyak perhimpunan membabitkan puluhan ribu orang, ia berkemungkinan berupaya merebakkan penularan pandemik Covid-19.

"Jawatankuasa Pengurusan Umno bersetuju sebulat suara mengenai keputusan ini dan mendapat persetujuan secara majoriti daripada Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno melalui 'circular resolution' atau resolusi secara edaran," katanya.

Memperincikan perkara itu, Ahmad berkata, mengikut Fasal 8.2 Perlembagaan Umno, Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan daripada tarikh PAU yang lalu.

Katanya, Fasal 8.2 Perlembagaan itu dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan iaitu tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

"Tarikh PAU 2019 ialah 6 dan 7 Disember, maka 18 bulan selepas itu ialah selewat-lewatnya pada 5 Jun 2021.

"Oleh itu, dipersetujui tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada Mac atau April 2021 dan PAU 2020 pada Mei atau awal Jun 2021. Bagaimanapun, tarikh yang tepat akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Ahli Jawatankuasa Bahagian Umno serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di semua bahagian disaran untuk mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.

"Segala aktiviti mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:05 PM