EMPAT PATI ditahan anggota APMM dalam Ops Benteng. FOTO ihsan APMM
EMPAT PATI ditahan anggota APMM dalam Ops Benteng. FOTO ihsan APMM
Amir Mamat


Melaka: Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 7.6 batu nautika, barat Tanjung Sepat, Selangor malam tadi.

Keempat-empatnya yang berusia 38 tahun hingga 53 tahun ditahan pada Ops Benteng, 9.55 malam.

Pengarah APMM Melaka/Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kehadiran bot dinaiki warga asing itu dikesan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).

"Radar mengesan bot terbabit yang datang dari arah perairan Indonesia ke perairan Tanjung Sepat, Selangor.

"Dua bot ronda APMM dikerah memintas bot terbabit. Bot itu cuba berpatah balik ke perairan Indonesia namun dikejar sebelum dipintas setengah jam kemudian," katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:36 PM