TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: "Eloklah beliau kaji dahulu. Baca peraturan (mesyuarat Dewan Rakyat) betul-betul," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau mengulas mengenai usul menangguhkan sementara urusan kerajaan di Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, usul tersebut bersifat umum, justeru tidak boleh diutamakan oleh sidang Dewan Rakyat.

"Dalam undang-undang ada dua perkara iaitu general provision (peruntukan umum) dan specific provision (peruntukan khusus). Peruntukan umum tidak boleh mengatasi peruntukan khusus yang antaranya memperuntukkan bahawa urusan kerajaan perlu diutamakan," katanya.

Takiyuddin ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Ketua Jabatan Agensi Persekutuan di Wisma Persekutuan Anak Bukit di sini, hari ini.

Maszlee dilaporkan berkata sudah mengemukakan usul itu bagi memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibincangkan dan diputuskan.

Menerusi status bebenang akaun Twitternya, Maszlee berkata, usul itu penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Muhyiddin, sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung dari 2 November hingga 15 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:23 PM