UMNO.
UMNO.
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Umno membatalkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik, Pahang.

Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung esok itu dibatalkan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, keputusan mengangguhkan mesyuarat itu dibuat selepas mengambil kira isu yang akan berbangkit dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pemimpin Umno perlu merentasi sempadan negeri yang dikenakan PKPB untuk menghadiri mesyuarat.

"Ya tangguh (mesyuarat)," katanya ringkas ketika memberi respon ketika penyebaran kandungan kunpulan WhatsApp di media sosial mengenai penangguhan mesyuarat itu.

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam kalangan ahli MKT, mesyuarat itu dijangka akan diadakan sebaik PKPB tamat pada 27 Oktober ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Umno sepatutnya mengadakan mesyuarat itu menerusi sidang video.

Namun, katanya ada dalam kalangan ahli MKT yang mahu mesyuarat diadakan secara bersemuka.

Antara intipati mesyuarat berkenaan dijangka akan membincangkan syarat baharu kerjasama antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, mesyuarat juga memberi tumpuan kepada desas desus dakwaan sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 10:30 PM