ANNUAR pada sidang media selepas program Operasi Sanitasi Awam di Presint 4, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANNUAR pada sidang media selepas program Operasi Sanitasi Awam di Presint 4, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SamadiAhmad


Putrajaya: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini negara diuji dengan Covid-19 serta masalah ekonomi, justeru semua pihak perlu mengetepikan semua isu kecil dan kembali kepada penyatuan dan perpaduan selain muafakat dan kerjasama.

"Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

"Kalau kita dah stabil seperti itu dan kalau nampak keadaan masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

"Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya," katanya pada sidang media selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, apabila ada ketidakstabilan, akan ada pihak yang merasakan mereka boleh menjadi Perdana Menteri.

Pada masa sama, Annuar berkata, ketika ini, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih mengadakan runding berhubung syarat baru kerjasama dalam memperkukuh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, perbincangan itu membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin dengan kedua-dua Presiden sering mengadakan pertemuan.

Malah, katanya, satu pertemuan turut diadakan malam kelmarin.

"Saya sendiri baru berjumpa Perdana Menteri dan malam tadi saya jumpa Datuk Seri Najib Razak. Malam sebelumnya saya bertemu dengan Presiden, Ahmad Zahid.

"Saya nampak pemimpin kita semua berjiwa besar, mereka bukan bergaduh, mereka duduk untuk berbincang dan itu jalan terbaik, kita bincang anak beranak, macam adik-beradik," katanya.

Annuar berkata, beliau yakin sebahagian besar daripada penyelesaian sudah dicapai justeru beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada pemimpin parti membuat pengumuman mengenainya.

Terdahulu, Annuar menerusi akaun Twitternya, memaklumkan Umno dan parti-parti gabungan bakal muncul lebih padu dan kuat selepas ini.

Mengulas lanjut maksud ciapannya, Annuar berkata, kerjasama itu termasuk membabitkan persiapan pilihan raya umum bersama rakan parti termasuk yang mendokong Kerajaan PN.

"Rakyat menjadi semakin meluat kalau kita asyik berpolitik tengok jadi tunggang terbalik, tiga kali setahun nak susun Kabinet.

"Kita kena malu kepada dunia kerana sebelum ini kita terkenal dengan kestabilan politik sejak awal merdeka, cuma penggal PRU-14 ini saja nampak lain.

"Kembali kepada penyatuan dan perpaduan itu lebih penting kita bermuafakat dan bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:44 PM