GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Semua operasi pasar malam, pasar pagi, pasar khas, Bazar Johor Bahru serta pasar tani (bukan Pasar Tani Kekal) di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), diarahkan ditutup sementara mulai esok, berikutan terdapat kes penularan Covid-19.

MBJB dalam satu notis pemberitahuan memaklumkan, penutupan sementara itu bagi mencegah penularan wabak berkenaan sehingga ke satu tarikh akan diberitahu kelak

"Penutupan sementara itu membabikan 50 lokasi pasar malam di kawasan pentadbiran MBJB, 16 lokasi pasar pagi di kawasan pentadbiran MBJB, Bazar JB (Bazar Karat), pasar pagi Borneo (Sarawak) di Taman Megah Ria dan tapak jualan hasil laut Orang Asli di Taman Bayu Puteri," menurut kenyataan itu, hari ini.

Seramai 2,649 peniaga pasar malam dan 822 peniaga di pasar pagi terbabit dengan arahan itu.

Menurut MBJB, turut terbabit dengan arahan itu ialah Pasar Tani Fama di Jalan Padi Mahsuri 11, Bandar Baru Uda; Pasar Tani Fama di Jalan Datin Halimah, Larkin (pasar tani bukan kekal Hari Sabtu); Pasar Tani Fama di Giant Plentong dan Pasar Tani Fama di Aeon Dato' Onn membabitkan 241 usahawan.

"Justeru, semua peniaga diminta mematuhi notis berkenaan selaras dengan peruntukan kepada kuasa MBJB mengikut Seksyen 72 (1) (f) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 5:41 PM