Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 71 peratus kadar penggunaan katil dicatatkan di sembilan hospital di Sabah bagi merawat pesakit Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini seramai 723 pesakit positif Covid-19 dirawat di sembilan hospital di negeri itu.

"Sebanyak 110 kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) direkodkan iaitu bersamaan 57 peratus setakat 13 Oktober lalu.

"Setakat hari ini, kita mempunyai 1,018 katil di sembilan hospital Covid-19 di Sabah dengan kadar penggunaannya sebanyak 71 peratus," katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Menurutnya, terdapat 4,161 katil di 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan hanya 23 peratus kadar penggunaan.

"Kes tiada gejala atau ringan akan ditempatkan di PKRC, manakala pesakit Covid-19 tahap tiga, empat dan lima pula akan ditempatkan di sembilan hospital di negeri berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya akan memantau dengan lebih mendalam dan teliti perkembangan kes di negeri itu walaupun semalam terdapat peningkatan jumlah pesakit pulih dan discaj iaitu 350 orang.

"Sekarang ini kita melihat kepada keperluan ventilator iaitu terdapat 180 mesin berkenaan dengan kadar penggunaan 30 peratus.

"Bagi mengurangkan beban hospital, kes kategori satu dan dua dihantar ke PKRC yang kemudiannya diperiksa, dirawat sebelum dibenarkan keluar.

"Kita sedang melihat keupayaan hospital berkenaan untuk menambah katil di ICU yang mungkin akan diperolehi dalam sehari dua lagi," katanya.

Memperincikan keseluruhan jumlah katil di sembilan hospital itu, Dr Noor Hisham berkata, di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu terdapat sebanyak 684 katil secara keseluruhan dengan 324 dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

"Terdapat 237 pesakit di hospital berkenaan dengan kadar penggunaan katil 73 peratus.

"Bagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas pula mencatatkan seramai 105 orang jumlah pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan katil 95 peratus," katanya.

Menurutnya, seramai 178 pesakit Covid-19 dirawat di Hospital Tawau dengan kadar penggunaan katil sebanyak 83 peratus.

"Bagi Hospital Lahad Datu, seramai 92 pesakit dirawat dengan kadar penggunaan katil 70 peratus, manakala Hospital Duchess of Kent pula 87 orang dirawat dengan 54 peratus katil digunakan.

"Selain itu, di Hospital Keningau pula merekodkan 18 pesakit dirawat (51 peratus katil), Hospital Kota Marudu seramai tiga pesakit (25 peratus), Hospital Kudat hanya mencatatkan seorang pesakit (lima peratus) dan Hospital Semporna dua pesakit dengan pengisian katil 25 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 8:05 PM