PERALATAN perubatan daripada Yayasan Petronas yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Yayasan Petronas
PERALATAN perubatan daripada Yayasan Petronas yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Yayasan Petronas
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Hospital Queen Elizabeth (HQE) menerima peralatan perubatan tambahan daripada Yayasan Petronas untuk melengkapkan petugas barisan hadapan kesihatan menangani kes Covid-19.

Sumbangan itu membabitkan 1,504 botol cecair sanitasi tangan, 2,500 pelitup muka pembedahan dan 2,390 gaun perubatan yang dihantar ke hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pengurus Besar Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman berkata, sumbangan itu juga sebagai penghargaan Petronas terhadap pengorbanan warga kesihatan yang berdepan pandemik Covid-19.

"Kepada petugas perubatan barisan hadapan, kami ingin merakamkan penghargaan atas dedikasi dan pengorbanan anda semua.

"Kami berharap sumbangan ini dapat membantu dalam mengendalikan kes Covid-19 di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan Yayasan Petronas itu sejajar dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat minyak dan gas negara termasuk dalam aspek berkaitan kesihatan.

Katanya, Yayasan Petronas percaya pentingnya memastikan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua sejajar komitmen syarikat yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Usaha CSR organisasi juga adalah selaras dengan Agenda Kelestarian Petronas untuk mewujudkan impak sosial yang positif," katanya.

Ogos lalu Yayasan Petronas menyumbangkan dua unit ventilator kepada HQE, selain 14 katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital di Sabah dan Labuan pada April lalu.

Peralatan berkenaan sebahagian daripada peruntukan RM20 juta yang diumumkan Yayasan Petronas pada Mac lalu bagi membantu hospital dan petugas kesihatan di barisan hadapan di seluruh negara dalam usaha menangani penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 4:25 PM