FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran hanya membenarkan pengundi yang berada di Batu Sapi dan Sandakan untuk menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember depan.

Aktivis hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu berkata, pihak dari luar Batu Sapi atau Sandakan perlu dilarang masuk sama ada untuk berkempen atau mengundi.

Beliau berkata, walaupun tindakan itu dilihat bertentangan dengan amalan demokrasi dan hak asasi manusia, ia terpaksa dilakukan dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di Sabah ketika ini.

"Ramai yang kata punca utama peningkatan kes Covid-19 di Sabah ketika ini ialah pergerakan tidak terkawal orang ramai termasuk dari luar Sabah datang berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

"Pergerakan pengundi dari luar pulang ke kampung untuk mengundi terutama dari kawasan berisiko juga dilihat antara punca penularan pandemik berkenaan secara mendadak ke seluruh negeri.

"Berdasarkan situasi itu, mungkin pihak SPR atau pihak berkuasa yang berkaitan perlu membuat prosedur operasi standard (SOP) baharu melarang orang dari luar Sandakan masuk ke Batu Sapi sepanjang PRK bagi Parlimen itu.

"Biar orang ada di sana saja untuk menyertai PRK itu. Kalau ada kes jangkitan pun, hanya penduduk di sana saja yang kena," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan untuk meminimumkan penularan Covid-19 berikutan PRK Batu Sapi yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

SPR hari ini menetapkan 23 November depan sebagai tarikh penamaan calon, diikuti hari mengundi awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember.

Patrick berkata, cadangan untuk memberikan kemenangan percuma kepada WARISAN dengan memastikan tiada pertandingan pada PRK itu mungkin sukar dicapai berikutan perbezaan pandangan politik setiap parti.

"Walaupun beberapa parti sudah menyatakan pendirian untuk tidak menyertai PRK itu kerana tidak mahu membahayakan nyawa rakyat disebabkan peningkatan kes Covid-19, saya percaya masih ada pihak berminat untuk bertanding.

"Jadi, tiada cara lain untuk mengekang penularan Covid-19 selain mengetatkan kawalan SOP termasuk melarang kemasukan pengundi dari luar. Kita terpaksa melakukan perkara ini walaupun ia bertentangan dengan hak sebagai pengundi demi keselamatan bersama," katanya.

Setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menyatakan pendirian untuk tidak bertanding pada PRK itu selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 di Sabah ketika ini.

Sebelum ini pelbagai pihak mencadangkan supaya kerusi Parlimen Batu Sapi itu diserahkan kepada WARISAN sebagai usaha memastikan tiada kempen bagi PRK berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 3:17 PM