MUHAMMAD Shamsuddin menyerahkan bantuan Armada kepada keluarga arwah. FOTO ihsan Armada Johor
MUHAMMAD Shamsuddin menyerahkan bantuan Armada kepada keluarga arwah. FOTO ihsan Armada Johor
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Terima kasih atas bantuan diberikan. Buat masa ini kami sekeluarga masih bersedih dengan kejadian yang berlaku.

"Sebarang tindakan lanjut kami serahkan kepada pihak berkuasa," kata Nurul Asyiken Amir, 31, balu Allahyarham Mohd Rizal Buseri yang meninggal dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, kenderaan Mohd Rizal bersama kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Dia yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan lain cedera ringan.

Pemandu Myvi itu pula ditahan untuk siasatan kerana dipercayai positif dadah jenis methamphetamine dan memandu tanpa lesen serta cukai jalan tamat tempoh.

Nurul Asyiken berkata, buat masa ini keluarganya menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian itu.

Dia dan keluarga menerima kunjungan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan yang menyerahkan bantuan kepada keluarganya.

Sementara itu Muhammad Shamsuddin berkata, bantuan berupa kewangan dan barangan berkenaan adalah untuk meringankan beban ditanggung keluarga yang masih terkejut dengan kejadian itu.

"Armada Johor mewakili Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpanggil untuk membantu keluarga ini.

"Kita juga akan membantu sekiranya ada keperluan lain terutama anak arwah. Armada juga meminta siasatan lanjut dijalankan bagi membolehkan kes ini diadili dengan sebaiknya," katanya.

Berita berkaitan

  • Mungkin tiada lesen, cukai jalan juga
  • Pemandu Myvi rempuh dua kereta positif dadah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 11:28 PM