GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Ingin mengelakkan wang perbelanjaan kahwin yang dikirimkan 'teman lelaki' dari luar negara dibekukan, seorang ibu tunggal kerugian RM480,000.

Mangsa yang berusia 50-an dijanjikan akan menerima wang persediaan perkahwinan sebanyak RM650,000 sebelum diminta membuat bayaran bagi mengelakkkan separuh daripada transaksi yang kononnya sudah dibuat oleh kenalannya itu dibekukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa yang berasal dari Gua Musang, dan juga pesara kerajaan berkenalan dengan lelaki menerusi Facebook, September lalu.

"Kenalan lelakinya itu kononnya menetap dan bekerja dalam industri minyak dan gas di United Kingdom dan menyatakan ingin menghantar wang perbelanjaan perkahwinan berjumlah

RM650,000.

"Pada hujung September lalu, mangsa dihubungi seorang wanita kononnya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rakan Facebook mangsa sudah memindahkan sejumlah wang ke BNM untuk diproses.

"Mangsa diminta membuat bayaran bagi mengelakkan wang itu dibekukan dan dalam tempoh kurang dari dua minggu, mangsa sudah membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke satu akaun bank milik 'pegawai BNM' itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, sebaik menyedari sudah tertipu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kerugian itu adalah yang terbesar bagi kes Love Scam di Kelantan, tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

"Love / Parcel Scam adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan dan kami ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu yang hanya berhubung secara

dalam talian sahaja.

"Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan yang meragukan terutama yang meminta bayaran atau maklumat kewangan/akaun bank," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 12:45 PM