ZAMROSE (kiri) meneliti senjata dipamerkan pada majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di Dataran Parawood, Kem Terendak, Melaka. FOTO HASSAN OMAR
ZAMROSE (kiri) meneliti senjata dipamerkan pada majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di Dataran Parawood, Kem Terendak, Melaka. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: 10 Briged Para memansuhkan tugas rutin yang biasa dilakukan oleh briged infantri lain di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), sebaliknya memberikan tumpuan kepada tugas elit dalam peperangan, sejajar fungsi elit yang dipikulnya berkuat kuasa serta merta.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, tugas rutin berkenaan dilaksanakan pasukan lain dalam TDM manakala 10 Briged Para diberikan tanggungjawab meningkatkan keberkesanan tugas penyusupan ke lokasi musuh melalui udara, darat dan air.

"Dalam TDM hanya ada dua pasukan elit, iaitu 10 Briged Para dan Grup Gerak Khas (GGK) dan kedua-duanya tidak perlu lagi membuat kerja rutin TDM, sebaliknya memberi tumpuan kepada tugas elit," katanya pada sidang media selepas majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para kepada beliau di Dataran Parawood, Kem Terendak, Sungai Udang di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau menerima beret berkenaan daripada Panglima 10 Briged Para, Brig Jen Semaon Marjuki yang turut menyematkan sayap berkenaan pada dadanya.

Majlis itu adalah sempena Ulang Tahun 10 Briged Para Ke-26 esok. Zamrose adalah penerima ketujuh daripada kalangan Panglima TDM.

Beliau turut menyaksikan demonstrasi anggota 10 Briged Para seperti penerjunan bebas, renang tempur, penembak hendap, pendaratan helikopter Augusta A109 dan tarian perang 10 Briged Para.

Beliau menjelaskan, 10 Briged Para tetap menyertai infantri tetapi tugas dan misi anggota berkenaan difokuskan kepada penyusupan untuk memusnahkan pasukan musuh.

Zamrose juga berkata, TDM menambah 40 lagi anggota bagi membantu melaksanakan tugas berkaitan mengawal premis dan mengadakan sekatan jalan raya berikutan penularan wabak Covid-19, khususnya di Sabah dan Klang.

Ia menjadikan seramai 1,440 anggota TDM terbabit dalam tugas berkenaan di lokasi yang dikenakan perintah mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) di seluruh negara selain Sabah dan Klang setakat ini, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 7:06 PM