HASANAH ABDUL HAMID
HASANAH ABDUL HAMID
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, diberitahu pengecaman ke atas wang dan jam tangan mewah yang disita dalam kes pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid tidak dapat dilakukan, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal berkata, saksi pertama pendakwaan, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Nizhar Kadi sepatutnya membuat pengecaman terhadap kedua-dua barang kes itu bagaimanapun barang kes berkenaan yang disimpan dalam peti besi tidak dapat dikemukakan di mahkamah.

"Peti besi di bawah jagaan ketua cawangan (ketua cawangan siasatan khas SPRM). Bagaimanapun beliau berada di luar kawasan. Oleh itu, barang kes tidak dapat dibawa ke mahkamah, hari ini," katanya yang tidak mendedahkan jumlah wang terbabit.

Pada hari pertama perbicaraan kes itu dua hari lalu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa saksi pertama pendakwaan itu akan dipanggil semula, hari ini untuk membuat pengecaman ke atas barang kes itu.

Muhammad Nizhar dalam keterangannya pada Selasa lalu berkata, SPRM menjalankan operasi 'Ops Dinar 2' bagi menyiasat dakwaan aduan beberapa pegawai Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyalahgunakan wang disyaki milik Kerajaan Malaysia yang dianggarkan jutaan ringgit dan disimpan di beberapa lokasi.

Katanya, hasil operasi 'Ops Dinar 2' pihaknya menyita wang tunai berjumlah US$4.07 juta di Shaftsbury Residence, Cyberjaya dan satu beg berisi wang tunai sebanyak RM220,000 di Kuala Terengganu pada 30 Ogos 2018.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad dalam ucapan pembukaan kes pada Selasa lalu berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan Hasanah melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi pembelian enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung 12 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:12 PM