Azman. FOTO Arkib NSTP
Azman. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Wujud orang tengah dalam kalangan orang perseorangan yang menjadi ejen menjual benih padi tidak sah dengan harga mahal semata-mata mahu mengaut untung mudah.

Ia menyebabkan penanaman padi berdepan masalah kerana bekalan benih padi yang lebih daripada mencukupi, disembunyikan bagi tujuan itu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, ejen terbabit didalangi sindiket tertentu bertindak menyembunyikan stok benih ketika musim penanaman bermula.

Katanya, perkara itu menjadi isu besar kerana stok benih kepada sebahagian petani di utara dikatakan 'hilang' biarpun pengeluarannya sentiasa lebih daripada keperluan.

"Dari segi pengeluaran, kita keluarkan 72,000 tan metrik untuk kegunaan di seluruh semenanjung dan keperluan pesawah pada kadar 70,000 tan.

"Harga daripada pengeluar pula adalah RM28 untuk setiap kampit 20 kilogram. Bila berlaku kekurangan bekalan disebabkan manipulasi harga, ia melonjak kepada RM60 sekampit yang membebankan pesawah," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, selain itu, wujud juga sindiket yang menghasilkan benih padi sendiri yang menggunakan kampit putih untuk kegunaan pesawah.

Bagaimanapun, katanya, tiada jaminan mengenai kualiti benih berkenaan dan ia berisiko menjejaskan pengeluaran padi negara.

"Inilah isu yang kita sedang tangani. Berdepan dengan ejen serta sindiket dalam kalangan orang perseorangan. Pesawah yang terdesak untuk mula menanam, akhirnya terpaksa membeli sama ada pada harga tinggi atau pun mendapat benih tidak berkualiti.

"Jadi, kita akan kawal harga siling dan memberi pilihan kepada pesawah memilih benih yang sesuai bagi mengatasi masalah ini.

"Bahagian Penguatkuasa kita akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti ini dapat kita kekang," katanya.

Sejak lebih dua bulan lalu, Kawalselia Padi dan Beras menggempur beberapa lokasi termasuk di utara selepas mendapat aduan mengenai kegiatan haram berkenaan.

Ia susulan terdapat maklumat mengenai sindiket yang mengawal harga benih, sehingga mendatangkan masalah kepada pesawah termasuk di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 11:34 PM